S.O.B Nation


Don’t take citizens’ loyalty for granted, Raja Nazrin to leaders
August 4, 2007, 6:36 am
Filed under: politicians, royalty, transparency

Nation’s successes and achievements inherited cannot be sustained forever if …

The following is the full text of Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah’s speech at the launch of a book on former Deputy Prime Minister Tun Dr Ismail Abdul Rahman titled “Not because of position: Tun Dr Ismail and his time” in Universiti Malaya today (Aug 3, 2007):

note: The text is mixed in Bahasa Malaysia and English

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN RAJA NAZRIN SHAH Di MAJLIS PELANCARAN BUKU ‘BUKAN KERANA PANGKAT: TUN DR. ISMAIL DAN MASANYA’

Assalamualaikum Warahmatuilahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim

Alhamdulillah, dengan penentuan dari ALLAH Subhanahu Wataala, Majlis Pelancaran Buku, ‘Bukan Kerana Pangkat Tun Dr Ismail dan Masanya, dapat dilangsungkan pada pagi Jumaat penuh berkat ini. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan dapat berangkat ke Majlis ini.

2. Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah pada 2 Ogos 1973, ketika baru mencecah usia 57 tahun, satu jangka hayat yang pendek, namun telah cukup untuk membolehkan namanya terpahat dalam sejarah negara. Dr. Ismail tidak memerlukan tempoh yang lama untuk memahat sejarah; Dr. Ismail – tidak memerlukan hikayat yang panjang untuk dikenali. Begitu berharga jasa – begitu bernilai khidmat Dr. Ismail kepada negara bangsanya. Karakter Dr. Ismail tepat di luar tepat di dalam, mudah dibaca – senang difahami. Lidahnya bertutur dalam bahasa yang sama meski berhadapan kumpulan yang berbeza. Apa yang dikata, tetap dikota.

3. Dr. Ismail dihormati, disegani, malah digeruni. Namanya, arahannya baik secara lisan mahupun tulisan, garau suaranya diganggang telefon, apatah lagi kehadirannya, memberikan satu gegaran. Kalimah-kalimah yang diungkapkan, baik dalam perbincangan tertutup mahupun dalam forum terbuka memperlihatkan prinsip yang tegas, minda terbuka, berhati cekal memancarkan keikhlasan dari roh yang tulus. Dr. Ismail lebih dari sekadar seorang pemimpin individu, malah merupakan satu institusi yang memperlihatkan teladan kepimpinan yang amat dihormati, disegani dan digeruni, walaupun frasa ‘kepimpinan melalui teladan’masih belum dicipta; Dr. Ismail mengamalkan sifat-sifat bersih, cekap dan amanah mendahului era slogan tersebut diperkenalkan; Dr. Ismail memperlihatkan integriti tinggi meskipun negara belum memiliki Institut Integriti Nasional.

4. Ratusan amanat telah diucapkan sepanjang hayatnya. Di Majlis ini, Beta memilih untuk memetik ungkapan-ungkapan yang terkandung dalam dua dari ratusan ucapan yang pernah dilafazkan semasa hayatnya. Semasa menerima anugerah ljazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 9 Jun 1973, Dr. Ismail dalam ucapannya memperlihatkan sifat kemanusiaan yang tinggi, sifat rendah diri, sifat keinsafan dan sifat kesyukuran seorang hamba yang lemah lagi daif di sisi Tuhannya, melalui kata-kata berikut: Quote, ‘Sebagai seorang manusia biasa dan dengan perasaan terharu kerana kedaifan, tetapi penuh syukur, saya berdiri di hadapan saudara-saudara, pendeta-pendeta dan sarjana-sarjana dalam gedung ilmu pengetahuan yang bemama Universiti Sains Malaysia ini’ ‘…Saya berdiri di hadapan saudara-saudara bukan sebagai seorang pemimpin negara, bukan sebagai seorang politik, bukan sebagai seorang tokoh dalam masyarakat, tetapi hanya sebagai seorang hamba Allah di tengah-tengah orang yang berilmu, sebagai manusia yang telah lewat umur, tetapi telah banyak menjalani hidup yang penuh dengan kisah-kisah suka dan dukanya’ Unquote

5. Ucapan di majlis Konvokesyen itu, dilafazkan 55 hari sebelum Dr. Ismail menghembuskan nafas terakhirnya, bagaikan satu peringatan diwasiatkan, dalam Majlis ilmu, di sebuah universiti, di hadapan hadirin yang majoritinya para mahasiswa, representasi generasi muda terpelajar. Dr. Ismail menekankan bahawa ‘kepercayaan, keyakinan dan belief seseorang adalah penting dalam menentukan perkembangan politik, ekonomi dan sosial di negara ini. Ucapan tersebut memperlihatkan sikap Dr. Ismail sebagai seorang optimis, seorang yang memiliki keyakinan dan seorang yang mempamerkan sikap hidup positif. Bahawa kunci kejayaan seseorang bergantung pada sikap dan pada pandangan hidupnya; bahawa masa hadapan negara dan bangsa penuh dengan kegemilangan – penuh dengan harapan.

6. Dr. Ismail mengingatkan bahawa empayar dan dinasti yang besar dan gagah, timbul dan tenggelam, tetapi kemajuan manusia terus meningkat; bahawa dunia menghadapi peperangan dan dilanda malapetaka, namun peradaban manusia kesefuruhannya mencapai peringkat kemajuan yang semakin tinggi. Manusia diiktiraf sebagai ‘innovator’ yang bijak, cekap memberi tindak balas menghadapi sesuatu situasi, berasaskan kekuatan fikiran – bersandarkan naluri, yang diwarisi zaman berzaman.

7. Kata-kata negarawannya terungkap dalam pengakuan bahawa pemimpin dan rakyat sama-sama belajar dari masalah, sama-sama belajar da@ pengalaman. Bahawa tidak ada buku teks yang lengkap untuk mengajar manusia memimpin. Buku teks hanyalah satu panduan yang perfu diuji di peringkat pelaksanaan, ketika berhadapan situasi sebenar. Bahawa tidak terdapat jawapan standard kepada semua masalah, malah tidak juga ada masalah yang standard dalam hidup.

8. Dr. Ismail dikenali dengan semangat kebangsaan Melayu yang tuien, namun beliau tidak mengamalkan sifat rasis. Beliau tidak merestui amalan diskriminasi berasaskan kaum dan senantiasa mengingatkan bahawa masyarakat di negara ini bukanlah masyarakat yang regimented. Masyarakat Malaysia berulang kali ditegaskan sebagai masyarakat berbilang kaum dengan budaya dan resam masing-masing, dan pentingnya bagi negara mempunyai pemimpin yang menuju ke arah mencipta sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dalam kepelbagaian tersebut.

9. Ucapan di Universiti Sains Malaysia itu diakhiri dengan ungkapan berikut:

Quote:
‘I believe that Malaysians should exploit to the utmost the inherent qualities of her various racial components which enrinch the Malaysian society’
Unquote.

10. As I read about Tun Dr. Ismail, I realise more and more what an extraordinary person he was; a statesman, an inspirational leader and a visionary. Tun Dr. Ismail envisaged a Malaysia for all without color lines, without ethnic borders and without any one group feeling a sense of inferiority. He recognised the importance of open mindedness in addressing day to day issues and problems; the importance of listening and learning from others particularly from those who are more advanced.

11. He strongly believed in the principle of life-long learning, visiting other lands and adopting best practices without losing our core values and our identity as a nation. He was a great man with the interest of the nation at heart. He did more than what was required of him. He went beyond the call of duty – for his nation – for his people. He put his country above himself and served till the very last day of his life.

12.Tugas terakhir Dr. Ismail kepada negara bangsanya, disempurnakan lima jam sebelum menghembus nafas terakhir. Atas nama Pemangku Perdana Menteri, pada jam 5.00 petang, 2 Ogos 1973, di tapak bersejarah Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur, Tun Dr. Ismail melancarkan Perayaan Jubli Perak, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

13. Dalam ucapan di Majlis tersebut, Tun Dr. Ismail menegaskan pentingnya disedarkan ibu bapa dan pelajar-pelajar Melayu untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan setanding dengan pencapaian kaum-kaum lain serta selaras dengan kemodenan dan pembangunan yang sedang berlaku. Dalam amanat terakhir itu, Tun Dr. Ismail menzahirkan prinsip pegangan beliau yang mengiktiraf bahawa belia adalah satu ‘force’, satu tenaga yang kuat untuk membina negara ataupun sebaliknya untuk meruntuhkan negara. Amanat terakhir itu turut memperingatkan golongan belia untuk mendasarkan kegiatan mereka kepada program berorientasikan tindakan dan bukan sekadar pergerakan yang semata-mata beriandaskan isu dan retorik.

14. smail bin Abdul Rahman telah 34 tahun meninggalkan kita. Namun prinsip perjuangannya tidak harus dikebumikan bersama di makam pahlawan. Prinsip perjuangannya perlu terus dihidupkan, seruannya perfu terus digemakan, integritinya perlu terus disuntikkan kepada warga di negara ini terutama di kalangan generasi muda. Tuhan telah menetapkan bahawa amanat terakhir Dr. Ismail disampaikan bukan dalam majlis politik, tidak juga di majlis Kerajaan, tidak pula digedung perniagaan, tetapi dalam majlis anjuran sebuah persatuan pelajar bernama GPMS; amanat terakhir Dr. Ismail memperingatkan golongan muda dan golongan pelajar. Penghormatan terakhir kepada beliau adalah anugerah akademik, ijazah kehormat doktor falsafah, pengiktirafan yang diterimanya dari sebuah gedung ilmu dan amanatnya juga adalah kepada kumpulan ilmuwan dan kalangan pelajar.

15. Untuk itu, universiti dan para pelajar perlu mengambil iktibar bahawa Dr. Ismail disuratkan oleh ILAHI untuk menyampaikan amanat – meninggalkan wasiat melalui institusi ilmu dan kepada kalangan mahasiswa. Bahawa institusi ilmu, para sarjana dan para mahasiswa wajib terus menyalakan obor perjuangan suci negara bangsa; membangunkan angkatan warga berilmu, angkatan warga yang bersifat rasional lagi terbuka, angkatan warga yang berusaha membina perpaduan dalam kepelbagaian, angkatan warga yang memiliki prinsip yang teguh, angkatan warga yang memiliki integriti yang tinggi. Semangat dan prinsip perjuangan Dr. Ismail dari segi pengorbanan, komitmen, keberanian dan integriti harus disuntik di kalangan pelajar – harus dipelopori oleh para sarjana.

16. Negara kini di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali kelima puluh. Ulang tahun kemerdekaan ini disambut dalam suasana pemimpin dan warga dapat berbangga, berada dalam sebuah negara merdeka yang aman, makmur dan berjaya. Kejayaan yang telah dicapai perlu dipertahankan malah lebih perlu ditingkatkan. Kejayaan yang diwarisi tidak mungkin kekal selamanya jika urus tadbir negara gagal dilaksanakan secara cekap – secara berkesan; secara arif – secara bijak, secara cermat – secara berhemah, secara adil – secara saksama. Sedarilah! Generasi hari ini sebenarnya menuai hasil dari ladang kejayaan yang telah diusahakan oleh pemimpin terdahulu.

17. Dr. Ismail dan mereka yang seangkatan dengannya adalah barisan pemimpin gelombang pertama bagi sebuah negara bangsa yang baru merdeka. Ketika itu, masih belum terdapat walaupun sebuah universiti di negara ini. Cerdik pandai dan intelek bangsa amatiah terbatas – begitu kecil jumlahnya. Namun dalam menghadapi sumber terbatas tersebut, negara berjaya mendapat barisan pemimpin dari kalangan insan yang terbaik; dalam ketandusan sumber intelek itu, terkandung di setiap jiwa mereka kekayaan integriti dan kekuatan sumpah kesetiaan.

18. Barisan pemimpin gelombang pertama memperlihatkan tingkat integriti yang tinggi yang sukar dipertikaikan. Mereka memperlihatkan kesetiaan kepada perjuangan, kesetiaan kepada prinsip, kesetiaan kepada bangsanya dan kesetiaan kepada negaranya. Pemimpin gelombang pertama ini, merupakan kumpulan elit bangsanya ketika itu, kebanyakannya dari keturunan aristocrat atau menengah atas, namun hati dan jiwa mereka senantiasa berada dengan rakyat biasa, menghayati penderitaan dan erti kemiskinan, yang dialami oleh para petani dan buruh biasa. Mereka mengambil sebagai tanggung jawab untuk menyuarakan dan membela nasib kumpulan bawahan dan rakyat jelata. Semangat tersebutiah yang merupakan komponen utama membolehkan negara ini menjadi sebuah negara yang stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi.

19. Setelah lima puluh tahun mencapai kemerdekaan, janganlah hendaknya semangat membela rakyat majoriti ini menjadi begitu jauh dihati mereka yang memegang jawatan dan memiliki kuasa. Kumpulan miskin dan rakyat bawahan masih memerlukan pembelaan dan wajib terus dibela. Kesetiaan warga kepada pemimpin – tidak harus dinodai dengan salah laku pemimpin melakukan perkara-perkara yang menyimpang dari kebenaran kerana didorong haloba membina kekayaan diri dan kekayaan famili. Pemimpin itu laksana pohon dan rakyat itu laksana akar yang akan menentukan kesuburan dan kerendangan pohon. Ambillah iktibar dan jadikanlah teladan corak kepimpinan, keikhlasan, pengorbanan dan integriti yang telah dipamerkan oleh Tun Dr. Ismail berserta barisan pemimpin gelombang pertama pasca merdeka itu. Semoga negara Malaysia akan diamanahkan oleh ALLAH Subhanahu Wataala ditadbir urus oleh barisan pemimpin yang memiliki sifat integriti tinggi selaras dengan hadis, yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud, “Jikalau Allah inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Tuhan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik …

20. Semoga penerbitan yang telah dirintis ini akan membuka laluan kepada penerbitan-penerbitan susulan. Koleksi kertas peribadi, koleksi ucapan dan koleksi amanat Tun Dr. Ismail, adalah khazanah negara. Betapa manfaatnya kepada bangsa di hari ini dan di hari muka, jika koleksi ucapan dan amanat Tun Dr. Ismail dapat dihimpun atau dibukukan. Semoga langkah yang telah dirintis oleh Institute of Southeast Asian Studies, Singapura ini memberi inspirasi, memberi ilham dan memberi keberanian kepada institusi-institusi ilmu di negara ini untuk menggerakkan sesuatu usaha mendalami khazanah intelek peninggalan negarawan yang bernama Ismail bin Abdul Rahman.

21. Semoga Allah Subhanahu Wataala mencucuri rahmat dan memberi ihsan kepada roh Tun Dr. Ismail sehingga ke hari kebangkitan. Semoga segala jasa baktinya diberikan ganjaran setimpal di hari kebangkitan. Kepada keluarga Tun Dr. Ismail, sebenarnya negara dan bangsa amat terhutang budi. 22. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya melafazkan pengisytiharan pelancaran ‘Bukan Kerana Pangkat.- Tun Dr. Ismail dan Masanya’.

Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Advertisements

1 Comment so far
Leave a comment

[…] Dont take citizens loyalty for granted, Raja Nazrin toleaders […]

Pingback by Sivin Kit’s Garden » Random Links 166 (Malaysia)




Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: